WELCOME


SALAM BUAT PENGUNJUNG BLOG GEMILANG-YAHMAD
Sekadar mengisi masa terluang
dan merakam apa-apa yang tak mungkin berulang. Sesungguhnya kita sentiasa memburu kegemilangan dalam hidup baik di dunia mahupun di akhirat.

Saturday, 19 March 2011

Sayangi Mereka Selagi Ada

Seminggu bercuti rasanya amat singkat. Persekolahan akan bermula semula. Semua persiapan untuk menghadapi hari esok rasanya belum sempat aku selesaikan. Masih banyak kerja-kerja tertunggak yang tak sempat aku bereskan memandangkan setiap hari ada-ada sahaja urusan luar rumah yang terpaksa dilakukan. Hari ini aku masih lagi dengan jadual  sepanjang cuti ini iaitu menghadiri majlis kenduri. Satu di Kota Bharu, rumah sepupuku dan satu lagi di Tumpat, rumah kawan suamiku.

Petang nanti, aku berharap semuga aku sempat menjenguk kedua orang tuaku di Wakaf Che Yeh. Selagi mereka masih hidup, selagi itulah sebagai anak kita perlu memberikan sedikit ruang untuk mereka. Kehadiran anak-anak sesungguhnya satu magic yang dapat membangkitkan kekuatan, semangat, kesihatan, keseronokan, kebahagiaan dan kesukaan yang dapat memberikan nafas kepada mereka. Selagi kedua ibubapa kita masih hidup, berbaktilah kepada mereka,hiburkan hati mereka dan jagalah mereka sebagaimana mereka telah menjaga kita dari kecil dahulu sehingga kita dewasa dan menjadi seorang manusia.

Ingin aku berkongsi pengalaman yang tak mungkin aku lupakan. Sebagai seorang guru penyelaras pusat sumber sekolah aku dibebani dengan tugas dan tanggungjawab yang amat berat. Banyak kerja-kerja yang perlu dilakukan bila persekolahan baru bermula. Pada penghujung tahun, aku sudah mula sibuk dengan mesyuarat-mesyuarat yang terpaksa dihadiri. Mesyuarat perancang sekolah, mesyuarat kurikulum, mesyuarat guru, mesyuarat induk pusat sumber dan di samping itu aku juga terpaksa menguruskan pakaian seragam pustakawan-pustakawan sekolah di samping menyediakan segala perancangan dan aktiviti-aktiviti yang akan dilakukan bila persekolahan baru bermula. Dek kesibukan melampau, aku hampir lupa kepada kedua orang tuaku. Tak sempat aku menjeguk mereka, menelifon mereka atau bertanya kabar, walhal bukanlah jauh sangat, sekadar 25 kilometer dari rumahku.

Satu hari aku mendapat panggilan telefon dari adikku memberitahu ibuku tak sihat, sudah seminggu tak dapat bangun. Tak mahu makan malah bercakap pun tak mahu. Abangku yang berada di Perak pulang. Betul, ibu langsung tak mahu bercakap. Kami memicit-micit dan menggosok ibu dengan kasih sayang. Bila jam 1 malam baru aku pulang ke rumah. Setiap hari selama seminggu aku pulang menjenguk ibu. Begitu juga dengan adik beradik ku yang lain. sesungguhnya bagai satu magik, setelah tiga hari, ibu dapat bangun dan berjalan sendiri, memasak dan menunaikan solat secara berdiri. Selepas seminggu, ibu juga telah keluar ke pasar tani Wakaf Che Yeh, pasar tani yang tersohor di Kelantan. Itulah , sebenarnya ubat dan penawarnya. Kehadiran anak-anak disekeliling mereka adalah ubat dan penawar yang terbaik.

Beberapa hari yang lepas, mertuaku juga yang sememangnya sakit kelihatan amat letih yang ketara. Kami anak beranak berada di sekeliling mereka. Begitu juga dengan jiran-jiran terdekat. Bapa mertuaku langsung tak boleh ditinggalkan sendirian. Kalau melihatkan keadaannya, seperti sudah mahu meninggalkan kami semua. Aku rasa sangat sedih melihat keadaannya. Tapi gerak hatiku yakin bahawa satu keajaiban akan berlaku. Memang tepat sekali jangkaanku. Pada petang itu sampailah anaknya yang berada di Perak, pulang anak-beranak. Mertuaku sihat serta merta. Sudah boleh bangun dan dapat pula ke kedai kopi terdekat dengan dibawa oleh anak-anak mereka. Sehingga hari ini setelah tiga hari berlalu, Alhamdulillah, kesihatannya dapat bertahan. Sememangnya Allah maha mengetahui tentang hamba-hambanya dan sebagai anaik-anak, lakukan yang terbaik selagi hayat masih ada. Sayangi ibu bapa, Allah sayangi kita, sayangi manusia, Allah juga sayang kita, kerana sesungguhnya Allah Maha Penyanyang lagi Maha Mengasihani. Sentiasalah bermohon keredhaan Allah. Amin.

Selamat kembali ke sekolah kepada semua guru dan pelajar. Berpeganglah kepada keikhlasan, amanah, dedikasi dan penuh bertanggungjawab.

1 comment:

  1. Kasih sayang adalah penawar yang amat mujarab. Kebencian itu adalah racun yang penuh berbisa.

    ReplyDelete