Sudah tiga hari tak sempat aku menjenguk ke blog ini. Ada-ada saja program yang harus aku lakukan. Walaupun sekolah bercuti pada hari Jumaat, namun aku tetap juga ke sekolah. Aku, dan dua orang rakan guru yang lain telah berjanji untuk mengadakan latihan terakhir kepada murid-murid pasukan koir lagu "Buku Di Tangan dan Membaca Gaya Wawasan". Kedua-dua lagu ini merupakan lagu yang telah dipersembahankan oleh murid-muridku semasa Pelancaran Program Buku di Tangan baru-baru ini. Pegawai Pendidikan Teknologi PKG Ketereh, En Mohamad b Rabuna yang merasmikan program tersebut telah meminta aku rakamkan lagu tersebut untuk koleksi PKG.
Aku sungguh bernasib baik kerana telah ditawarkan untuk merakamkan lagu tersebut di studio rakaman di BTPN negeri oleh seorang pegawai dari BTPN. Pucuk dicita ulam mendatang. Peluang ini tak mungkin aku lepaskan.
Ahad - 27 Mac, aku bersama tiga orang lagi guru pengiring yang lain membawa murid-murid kami seramai 21 orang. Tepat jam 10.00 pagi kami sampai dan disambut oleh En Kasman, pegawai dari unit Media. Beliau merupakan bekas pegawai PKG Ketereh yang dinaikkan pangkat ke BTPN negeri. Inilah untuk pertama kalinya aku melihat bagaimana proses rakaman lagu dilakukan di dalam studio. Tak semudah yang disangkakan. Beberapa kali percubaan dilakukan bagi menghasilkan yang terbaik. Selama dua jam masa yang diambil bagi rakaman tersebut.
Tepat pukul 1.00 tengah hari, kami bertolak pulang ke sekolah. Aku singgah ke kedai nasi Kak Wook di Telipot dan membeli 25 bungkus nasi. Perut mula berkeroncong, tengkuk pula kehausan. Kesian murid-muridku. Mereka tentu tersangat lapar. Mereka terlalu keletihan. Apa tidaknya, kalau kebiasaan mereka berehat pada pukul 10.45 pagi tapi hari ini mereka tiada rehat, cuma berpeluang membasah tengkuk dengan beberapa teguk air mineral.
Sampai di sekolah tepat pukul 2 .00 petang. Apa lagi.....perut yang sangat lapar terus diisi. Selepas makan, murid-muridku harus menyambung kelas Fardu Ain mereka. Tak dapat aku bayangkan betapa letihnya mereka. Tetapi sebagai pelajar tugas dan tanggungjawab mereka haruslah mereka lakukan walaupun dalam keadaan penat sekalipun. Syabas, murid-muridku. Aku berharap semuga mereka akan menjadi murid yang cemerlang, gemilang dan terbilang suatu hari nanti. Harapan ibu bapa, guru-guru dan harapan sekolah menjadi tanggungjawab yang harus dipikul oleh pelajar-pelajar kerana UPSR yang bakal mereka tempuhi tahun depan menjadi kayu pengukur kepada pencapaian sekolah.
Hari ini aku terpaksa uruskan lawatan ke pamaeran buku Kelantan yang akan berlangsung pada 29 Mac hingga 4 April di Dewan Jubli Perak MPKB. Sebanyak enam buah bas telah ditempah untuk mengangkut murid-murid ke sana. Aku telah menetapkan untuk pergi pada 30 dan 31 Mac. Mungkin lebih 300 orang murid akan menyertai lawatan tersebut. Harapanku semuga lawatan tersebut akan memberi pengalaman kepada murid-murid tentang suasana di tempat pameran. Sesungguhnya, pengalaman itu adalah satu pembelajaran yang amat bermakna.
Sesungguhnya kerjaya guru memerlukan keikhlasan dan komited dengan setiap program. Tiada istilah letih atau tiada masa bagi melahirkan murid yang cemerlang dan gemilang.
ReplyDelete